AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah
memperbanyakkan sedekah kerana sikap bermurah hati pada Ramadan adalah
dituntut. Ibn Abbas melaporkan: “Rasulullah adalah orang yang paling
dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya
lalu membacakan padanya al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada
bulan Ramadan kerana ia bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: “…
bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat
185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran
dengan Nabi SAW setiap hari sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan
al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga
hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap
hari pada Ramadan. Imam Zuhri berkata apabila tiba Ramadan, “Sesungguhnya
Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang
berpuasa.”
Memberikan makan kepada orang yang
berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa
yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala
(orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala
orang yang berpuasa itu.” (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan
ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada
bulan Ramadan iaitu solat terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah
terbitnya fajar. Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa
menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah
Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya
dilakukan pada Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian,
umumnya dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum
solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah
mengerjakan umrah berdasarkan sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Umrah pada
Ramadan (pahalanya) sama dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji
bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau
paling lambat sebelum selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim
yang berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu
gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras. Di Malaysia, nilai
zakat fitrah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.
0 comments:
Post a Comment